UMNO BANGGA PERASUAH SEBAGAI CALON


Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata pemilihan Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri kawasan Bagan Pinang dibuat berdasarkan kehendak penduduk setempat (terpaksa pilih walaupun rasuah).

Beliau berkata keputusan itu dibuat selepas pucuk pimpinan membuat tinjauan yang cukup rapi sampai ke peringkat akar umbi di kalangan orang Melayu, Cina dan India di kawasan itu.

Mereka menyatakan sokongan kepada Isa kerana sudah lama mengenali tokoh yang mesra rakyat itu dan sudah tahu jasa yang beliau lontarkan untuk orang-orang di Port Dickson serta Negeri Sembilan, katanya.

"Di atas dasar populariti dan juga atas kehendak orang tempatan, sebab itu saya bertanya mereka sendiri dalam ucapan saya tadi, saya tidak buat keputusan sendiri dan mereka katakan Isa! Isa! Isa!, tiga kali disebut, baru saya umumkan kerana itu adalah kehendak daripada pengundi di sini," katanya kepada pemberita pada majlis Aidilfitri Bagan Pinang selepas mengumumkan nama Isa sebagai calon BN bagi pilihan raya kecil itu.

Timbalan Perdana Menteri berkata keputusan itu telah berpihak kepada pengundi kerana ia merupakan satu pilihan raya kecil dan senarionya tidak sama dengan pilihan raya umum.

Isa, 59, pernah berkhidmat sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan selama 22 tahun dari April 1982 hingga Mac 2004.

"Walaupun mungkin dalam sejarah politik beliau (ada masalah), macam saya juga ada sejarah dan masalah, tapi rakyat tempatan, pengundi yang mengenali hati dan nurani beliau yakin beliau mampu," katanya.

Muhyiddin berkata beliau tahu pembangkang akan gunakan pelbagai isu terutama yang berkait rapat dengan isu politik wang Isa dahulu untuk menjatuhkan pemimpin itu.

Beliau melihat pilihan raya kecil itu merupakan peluang untuk kerajaan BN menjelaskan dasar-dasarnya, kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, gagasan 1Malaysia, usaha memulih ekonomi yang sedang berjalan di samping menerangkan keadaan masalah di peringkat tempatan dan nasional.

Timbalan Perdana Menteri yakin BN telah membuat keputusan yang tepat apabila meletakkan Isa sebagai calon dan berharap pengundi akan terus memberi peluang kepada BN untuk terus menjadi wakil bagi rakyat di Bagan Pinang.

"Kita akan teruskan usaha pembangunan kerana Bagan Pinang adalah satu kawasan yang strategik, sebahagian besarnya adalah Port Dickson sendiri, mempunyai potensi yang banyak, jadi kita bangunkan untuk pelancongan, perniagaan supaya ia jadi lebih maju lagi," katanya.

Beliau berkata pengalaman Isa akan dioptimumkan untuk memajukan kawasan itu kerana beliau arif dalam soal pentadbiran semasa berada dalam kerajaan pusat dan negeri.

-- BERNAMA

0 comments: