Ceramah Penjelasan Isu Perak Di Kg.Embun Maran, Lebih 15 Ribu Rakyat Hadir

MARAN 9/5/2009 - Lebih 15,000 orang penyokong Pakatan rakyat telah hadir beramai-ramai bagi mendengar ceramah umum yang disampaikan oleh Menteri Besar Perak yang sah dan juga Ahli Parlimen Bukit Gantang, YAB Dato' Seri Ir.Nizar Jamaluddin di Markas PAS Kawasan Maran, Kg.Embun dekat sini malam tadi. rakyat yang hadir berbondong-bondong tanpa mengira kaum telah datang serta sanggup bersusah payah untuk hadir biarpun tidak diberikan sebarang imbuhan oleh pihak penganjur. Inilah bukti bahawa rakyat Pahang juga sudah menerima satu "anjakan paradigma" untuk melakukan perubahan besar dalam pilihanraya umum akan datang pastinya. Tinjauan krew kami mendapati, kehadiran rakyat yang ramai itu telah mencipta satu sejarah baru buat Pakatan Rakyat di parlimen Maran dan negeri Pahang khasnya. Kelihatan deretan kenderaan yang diletakkan ditepi jalan Temerloh-Maran sejauh satu hingga dua kilometer jaraknya. Suasana program ceramah Pakatan Rakyat malam tadi sungguh meriah dan berjaya memecahkan rekod kehadiran rakyat semasa kunjungan Ketua Umum PKR ke Kuantan baru-baru ini. Malah, kutipan derma orang ramai yang mencecah RM13,000 jelas sekali menggambarkan bahawa rakyat sanggup memberi sokongan dana sebanyak mana sekali pun demi sebuah perjuangan. Turut berceramah malam tadi ialah Pesuruhjaya PAS Pahang, Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man, Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor, YB Teng Chang Kim dan ADUN Tras iaitu YB Choong Siew On. Pengerusi majlis ceramah malam tadi telah dikendalikan oleh Peguam PAS Pahang iaitu saudara Abdullah Abdul Karim.


Ceramah dimulakan oleh Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man dimana beliau lebih banyak menyentuh tentang perkembangan politik semasa di Pahang. Pesuruhjaya PAS Pahang itu juga amatlah berharap agar sokongan rakyat dapat digandakan lagi dalam merealisasikan hasrat untuk mengambil alih tampuk pemerintahan negeri dalam pilihanraya umum akan datang. Beliau juga telah mengumumkan pelancaran kempen "Bulan Infak PAS Pahang" bagi mencari dana untuk membayar kos pembelian pejabat perhubungan PAS Pahang yang baru di Temerloh. Menurutnya kos harga bangunan terbabit mencecah RM600,000 dan PAS Pahang diberi tempoh 60 hari lagi untuk melunaskan bagi bayaran tersebut. Justeru itu beliau menyeru semua penyokong Pakatan Rakyat menghulurkan sumbangan sekadar yang termampu untuk memberi infak kepada pembinaan bangunan yang bakal menjadi mercu tanda PAS Pahang itu nanti. Ceramah kemudian telah disambung oleh YB Choong Siew On, ADUN Tras. Beliau tidak banyak memberi ulasan, cuma lebih kepada ucapan penghargaan atas kehadiran begitu ramai penyokong Pakatan Rakyat dalam ceramah pada malam itu. Beliau turut menegaskan bahawa parti DAP Pahang akan terus memberikan komitmen untuk berkerjasama dengan PAS dan PKR dalam usaha untuk menakluki negeri Pahang pada pilihanraya umum ke-13 nanti.



Ceramah kemudian diteruskan oleh YB Teng Chang Kim, Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor. Dalam ceramahnya yang diselang selikan dengan unsur "sinis dan humor" yang menggelihatikan orang ramai itu, YB Teng telah memberikan sedikit ulasan tentang hak-hak Speaker DUN yang sukar untuk dinafikan. Beliau menyatakan demikian kerana kecewa dengan senario rampasan kuasa Speaker yang berlaku di DUN Perak baru-baru ini. Beliau juga menjelaskan serba sedikit tentang perkembangan politik semasa termasuk keyakinan rakyat Selangor terhadap kerajaan Pakatan Rakyat di negeri itu. "Satu kajian, telah dibuat oleh sebuah media bebas baru-baru ini yang membuktikan bahawa lebih 70% rakyat Selangor amat berpuas hati dengan pemerintahan Pakatan Rakyat di Selangor" katanya. Beliau turut menjelaskan beberapa perkara yang dilakukan oleh kerajaan Selangor dalam memberikan kebajikan kepada rakyat. Malah katanya, parti PAS, PKR dan DAP boleh bergambung dan tiada masalah sebenarnya. Ini kerana masing-masing mempunyai hala tuju yang sama iaitu bagi membela nasib rakyat. Itulah yang paling utama katanya. Beliau juga turut mengulas serba sedikit tentang langkah terdesak yang dilakukan oleh kerajaan bagi menggembalikan kepercayaan rakyat kepada mereka. Malah, Perdana Menteri Malaysia, Najib Razak katanya adalah PM yang paling "suwey" dalam sejarah Malaysia. Ini kerana berbagai insiden yang tidak diingini berlaku semenjak Najib berkuasa. Diakhir ucapannya beliau amatlah berbangga dengan kehadiran begitu ramai rakyat malan tadi, dan amatlah berharap kehadirannya ke lokasi yang sama pada masa akan datang Pakatan Rakyat adalah kerajaan di negeri Pahang, sambil menambat tepukan gemuruh dari kalangan rakyat.


Dato' Seri Ir.Nizar memulakan ceramahnya sekitar jam 11.05 malam. Lampu beberapa kali terpadam seolah-olah mengambarkan "hari gelap buat demokrasi" di Malaysia sudah bermula kembali. Dalam ucapan yang penuh bersemangat itu Nizar banyak menyentuh tentang perkembangan kes rampasan kuasa yang berlaku di negeri Perak. "Segala yang berlaku di Perak adalah kerja durjana Perdana Menteri Malaysia sendiri iaitu Najib Razak. Beliaulah yang telah merencana segalanya ini dan akhirnya menyusahkan seluruh rakyat Perak" katanya. Beliau turut memperjelaskan secara terperinci rentetan perjalanan kes insiden rampasan kuasa itu. Bermula dengan isu rasuah dan penyelewengan yang berlaku kepada dua Exco Perak iaitu Osman Jailu dan Jamaluddin Razi. "Sesuatu yang agak aneh bila Jamaluddin dan Osman dikatakan telah meluluskan satu projek perumahan, sedangkan mereka bukanlah exco yang berkaitan dengan hal tersebut" tambah beliau lagi. Dalam nada yang sebak dan tegas, Nizar menceritakan satu persatu segala apa yang berlaku di Perak. Beliau kemudian menceritakan perkembangan terkini isu Sidang DUN Perak pada 7 Mei lalu. Dalam ucapannya beliau secara jelas menyatakan bahawa amalan demokrasi berpelembagaan dan keluhuran undang-undang sudah tidak mahu lagi diamalkan oleh UMNO dan Barisan Nasional. Kes yang berlaku dalam Sidang DUN Perak merupakan satu sejarah hitam yang amat meninggalkan kesan kepada rakyat Perak dan Malaysia amnya. "Saya yakin, bahawa politik Perak tidak akan stabil selagi DUN tidak dibubarkan dan rakyat diberi kuasa untuk memilih kerajaan yang mereka mahukan. Saya juga amatlah berharap dan menyeru semua hadirin yang hadir untuk mendoakan kemenangan saya dalam keputusan siapakah Menteri Besar Perak yang sah" kata Nizar lagi. Difahamkan keputusan kes tersebut akan diumumkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada jam 2.00 petang hari Isnin 11 Mei ini.

Sumber : PDO


0 comments: