Semangat peneroka, Felda diarah bayar RM12 juta


Warga peneroka Felda di seluruh negara, khususnya yang merasa tertindas selama ini, terus mendapat semangat apabila 354 peneroka dari Felda Kemahang 3, Kelantan, bakal menerima RM12 juta daripada agensi itu.

Ia berikutan keputusan Mahkamah Persekutuan pada Selasa yang enggan membenarkan Felda untuk merayu dan mengarahkannya supaya membayar dengan jumlah itu kerana menipu peneroka sejak 1995.

Pengurus tanah rancangan tersebut yang telahpun meninggalkan dunia, telah menipu peneroka tersebut berhubung gred buah kelapa sawit mereka.

Panel tiga orang hakim yang diketuai oleh Tun Zaki Azmi, sebulat suara enggan membenarkan Felda membuat rayuan.

Ekoran keputusan itu, 354 peneroka tersebut masing-masing dijangka mendapat antara RM25,000 dan RM30,000.

Mereka diwakili oleh sepasukan peguam yang diketuai oleh Wan Rohimi Wan Daud dan Yusfarizal Yusoff.

Menurut fakta kes, peneroka Felda Kemahang 3 di Tanah Merah, Kelantan mengemukakan saman itu terhadap Felda pada 2002 dengan setiap seorang menuntut antara RM20,000 hingga RM30,000 sebagai ganti rugi umum selepas mendakwa agensi itu telah menurunkan mutu buah kelapa sawit mereka dari 1996 hingga 2002 mengakibatkan mereka rugi.

Mereka menamakan Felda sebagai defendan pertama, Pengurus Rancangan Felda Kemahang 3, Tanah Merah, Ibrahim Ismail defendan kedua (Ibrahim telah meninggal dunia) dan Felda Palm Industries Sdn Bhd selaku defendan ketiga.

Di dalam writ saman itu, mereka mendakwa berlaku penipuan dalam urusan jual beli hasil atau buah sawit yang dijual. Semasa prosiding hari ini kira-kira 200 peneroka hadir dan memenuhi perkarangan mahkamah Istana Keadilan.

0 comments: