Harga getah naik, tidur malam di kebun


TEMERLOH: Kenaikan harga getah sekarang bukan sahaja menimbulkan kegembiraan kepada penduduk kampong yang bergantung sumber rezeki kepadanya, malahan timbul pula rasa takut.

Semua ini gara-gara berleluasanya kejadian mencuri getah di kebun sekarang sejak harga getah dikatakan meningkat pada masa ini.

Akibatnya sejak dua bulan lalu, timbul pula budaya baru di kalangan penduduk kampung yang bergantung pendapatan dengan hasil menoreh getah iaitu terpaksa membina pondok dan tidur dalam kebun bagi mengelakkan getah mereka dicuri.

Menurut penduduk, senario baru ini sudah menjadi rutin di kalangan penduduk setempat, malah ada yang bergilir-gilir bersama rakan dan ahli keluarga menunggu di kebun getah sebaik ditoreh pada sebelah pagi.

Seorang penoreh Ismail Othman, 55, dari Kampung Paya Pulai berkata, sejak dua bulan lalu, harga getah melambung hingga mencecah RM4.80 sekilogram.

Menurutnya, bagi yang mempunyai kebun getah berkeluasan dua hektar mampu meraih pendapatan RM400 hingga RM500 seminggu, malah ada yang lebih.

“Dalam keadaan harga getah mahal, kes curi getah berlaku di mana-mana. Di kawasan ini pun kerap berlaku curi getah, kami terpaksa menunggu dan membuat pondok.

“Sejak kami melakukan rondaan, kes kecurian ini semakin berkurang,”

“Tapi kami sentiasa berjaga-jaga kerana dalam seminggu sekurang-kurangnya ada satu kes,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Ismail berkata, dia mula menoreh bermula jam 7 pagi hingga 11 pagi setiap hari sebelum berehat di pondok dan meninjau kebun pada sebelah petang.

Katanya, pada sebelah malam, dia terpaksa meronda bersama rakan dan sekurang-kurangnya dua kali seminggu bermalam di kebun getah.

Sementara itu, rakannya pemilik kebun bersebelahan Nawawi Kassim, 64, berkata, dia tidak bermalam di kebun getah sebaliknya kerap meronda bagi menjaga hasil daripada dicuri.

“Kadang-kadang kasihan juga melihat penduduk kampung yang penat menoreh dua tiga hari tiba masa untuk menjual getah tiada.

“Perkara ini sudah biasa bagi penduduk kampung, saya berulang alik dari Kampung Buntut Pulau bagi memastikan getah tidak hilang,” katanya.

Nawawi berkata, dia mendapat tahu harga getah akan naik di pasaran, sepatutnya penoreh gembira tetapi perlu berjaga-jaga kerana pencuri pun akan berleluasa.

0 comments: